Panduan Memilih Barang Hantaran

Posted by admin 14/02/2017 0 Comment(s)

 

Pemberian barang hantaran merupakan tradisi atau adat orang melayu untuk majlis perkahwinan yang telah diamalkan sejak turun-menurun. Pada masa kini, pemilihan barang hantaran, warna hantaran dan juga hiasan menjadi perkara yang penting agar ianya kelihatan lebih meriah dan menarik. Pelbagai idea dan cara hiasan untuk hantaran telah digunakan oleh pasangan pengantin. Tetapi anda dinasihatkan jangan terlalu mengikut trend hantaran yang menggunakan barang-barang yang mahal sehingga melebihi bajet perkahwinan anda. Oleh itu, kami ingin kongsikan beberapa panduan untuk memilih barang hantaran yang mungkin boleh membantu anda untuk membuat keputusan.

 

Membuat Perbincangan dengan Pasangan

Perbincangan bersama pasangan amatlah penting untuk mengetahui barang apa yang perlu dibeli dan mengetahui sekiranya barang yang dibeli sesuai untuk diletakkan di atas dulang. Dengan adanya perbincangan ini, pasangan pengantin dapat mengenal pasti jumlah dulang yang akan dibawa oleh kedua-dua belah pihak pada majlis nanti di samping dapat mengelakkan membawa jumlah dulang hantaran yang sama. Kebiasaannya, jumlah bilangan barang hantaran adalah ganjil di mana pihak perempuan perlu lebihkan dua dulang dari pihak lelaki. Sebagai contohnya jika lelaki membawa 5 dulang hantaran maka pihak perempuan haruslah membalas 7 dulang hantaran.

 

Senarai Barang Hantaran

Kebiasaannya untuk hantaran perkahwinan perlu ada kelengkapan pakaian, set penjagaan diri, buah tangan ataupun makanan. Di sini kami sediakan beberapa idea yang mungkin boleh anda gunakan untuk membeli barang hantaran.

 

Hantaran dari pihak lelaki

  • Mas kahwin/duit hantaran
  • Cincin/barangan kemas
  • Al-quran biasa/digital
  • Tepak sirih
  • Beg tangan
  • Sejadah
  • Kek/kek cawan
  • Bunga rampai
  • Jam tangan
  • Buah-buahan
  • Kasut
  • Telekung
  • Set wangian/barang makeup

Hantaran dari pihak perempuan

  • Sirih junjung
  • Buah-buahan
  • Kemeja/seluar
  • Gajet
  • Beg duit/tali pinggang
  • Kek/kek cawan
  • Al-quran biasa/digital
  • Sejadah
  • Set minyak wangi/barangan mandi
  • Jam tangan
  • Kasut
  • Coklat

Sireh junjung merupakan hantaran yang wajib bagi set hantaran pertunangan, anda juga boleh menggantikannya dengan tepak sireh. Bagi hantaran perkahwinan, sireh junjung bukan lagi perkara penting yang perlu ada, ianya bergantung kepada anda.

 

Membeli Mengikut Bajet Kewangan

Seelok-eloknya pilihlah barang yang mampu anda beli mengikut bajet kewangan anda dan yang dapat memberi manfaat kepada pasangan anda untuk digunakan selepas kahwin. Anda boleh membeli barang hantaran ketika ada jualan murah seperti jualan akhir tahun. Anda dinasihatkan supaya tidak berhabis wang semata-mata untuk beli barang yang berjenama semata-mata ingin mengikut trend. Fikirlah seelok-eloknya sebelum anda membeli barang hantaran supaya tidak menyesal kemudian hari.

Leave a Comment